Kerajaan akan pastikan dapatan RCI TH disiasat tanpa kompromi

KERAJAAN  akan memastikan setiap syor dan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) disiasat secara tuntas tanpa kompromi, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu selari dengan iltizam Kerajaan MADANI dalam memastikan siasatan berhubung laporan berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Menjunjung kasih atas perkenan menerima patik menghadap bagi menyembah maklum berhubung beberapa perkembangan penting yang menyentuh kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Titah Seri Paduka Baginda Tuanku agar siasatan berhubung Laporan RCI dilaksanakan secara menyeluruh adalah selari dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap syor, dan dapatan disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi,” kata beliau.

Anwar berkata perkara itu antara perkembangan yang disembah maklum ketika beliau menghadap Seri Paduka Baginda selama lebih sejam di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata TH menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat termasuk petani, penjawat awam serta golongan berpendapatan sederhana dan rendah, yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan amanah sebesar itu tidak seharusnya dikhianati dan sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan berkenaan hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang.

Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan pada 29 Julai lepas itu mendedahkan pelbagai penemuan mengenai kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Selain isu TH, Perdana Menteri turut menyembah maklum mengenai perkembangan siasatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang kini sedang diperhalusi kerajaan menerusi laporan Pasukan Petugas Khas supaya tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.

Anwar berkata kerajaan MADANI terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara menerusi penguatkuasaan yang berkesan, pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan, sekali gus memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

“Insya-Allah, saya dan seluruh jentera kerajaan akan sentiasa menjunjung titah Baginda Tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” kata beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img