Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan bidas kenyataan Hadi dakwa DAP pimpin PH teruskan agenda penjajah

KESATUAN Pondok-Pondok Kelantan memandang serius kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Menerusi kenyataan bersama Penasihat, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki dan Pengerusi Kesatuan Pondok Kelantan, Zulkarnain Harun, mereka berpandangan tuduhan sedemikian suatu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih.

Mereka berkata, tuduhan itu bukan sahaja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Lebih membimbangkan, pendekatan politik sedemikian bercanggah dengan tuntutan syariat yang mewajibkan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti.

“Kenyataan itu juga memperlihatkan kekeliruan dalam memahami kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.

“Malaysia bukan sebuah negara yang membolehkan mana-mana satu parti politik bertindak sesuka hati. Kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang dan prinsip semak dan imbang.

“Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti itu menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, kebencian politik tidak boleh menjadi alasan untuk melemparkan tuduhan bahawa sesuatu kelompok mahu menghapuskan Melayu dan Islam tanpa pembuktian yang kukuh.

“Politik ketakutan mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi perpecahan umat dan kerosakan keharmonian negara adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar.

“Kami berpandangan bahawa kenyataan yang mengaitkan lawan politik dengan ancaman terhadap Melayu dan Islam tanpa pembuktian yang jelas adalah berbahaya. Ia boleh merosakkan ukhuwah umat, meningkatkan ketegangan antara kaum dan agama serta menggugat keharmonian yang dibina sekian lama.

“Perbezaan politik adalah lumrah dalam demokrasi. Kita boleh berbeza parti, pendekatan dan pandangan, tetapi perbezaan itu hendaklah diurus dengan ilmu, fakta, adab dan keadilan,” katanya.

Justeru, mereka menyeru semua pemimpin politik, khususnya mereka yang membawa imej dan nama Islam, supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi menerusi tulisannya itu antara lain mendakwa PH yang dikuasai DAP mengambil langkah terbuka bagi meneruskan agenda penjajah yang bertujuan menyingkirkan Islam dan Melayu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img