209 GRO warga asing ditahan dalam serbuan pusat hiburan di Johor

POLIS menahan sebanyak 209 wanita warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan 13 penjaga premis hiburan berkas menerusi serbuan di 12 buah pusat hiburan di seluruh negeri itu bermula awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi dijalankan bermula jam 2.15 pagi hingga 9 pagi itu dilaksanakan di seluruh negeri melibatkan kontinjen Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah.

SERBUAN Polis Kontinjen Johor di salah sebuah pusat hiburan di negeri itu awal pagi ini. GAMBAR: IPK Johor

Beliau berkata, 13 lelaki yang ditahan itu melibatkan 10 warga tempatan dan tiga warga asing berusia antara 20 hingga 53 tahun.

“Bagi tangkapan GRO, ia melibatkan 93 wanita dari Vietnam, 87 orang dari Thailand, 11 wanita Laos, tujuh warga Indonesia, enam wanita Myanmar dan lima lagi dari Filipina.

“Semua wanita itu berusia antara 19 hingga 40 itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ab Rahaman, kesemua yang ditahan disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 kerana melanggar syarat lesen hiburan atau sekatan yang ditetapkan.

Katanya lagi, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

“Hasil semakan rekod lampau ke atas semua suspek, tujuh daripadanya memiliki rekod lampau melibatkan jenayah dan narkotik.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan pula mendapati 44 suspek positif dadah,” katanya.

Ab Rahaman berkata, 13 tangkapan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah, manakala 209 lagi ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, Polis Kontinjen Johor tidak akan berkompromi dan sentiasa komited menangani isu yang melibatkan keselamatan serta ketenteraman awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img