POLIS sedang mengesan saksi yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal warga tempatan maut di Kilometer 301.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah Kuala Lumpur pagi ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika menunggang di lorong kiri sebelum terjatuh ke lorong tengah lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam masa yang sama datang sebuah kereta yang sedang bergerak terus di lorong tengah tidak sempat mengelak lalu telah melanggar mangsa yang berada di atas jalan.
Pelanggaran tersebut telah menyebabkan penunggang motosikal warga tempatan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 8 pagi dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis sedang mengesan saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu.
Naazron berkata,orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau video kejadian, terutama yang melalui lokasi berkenaan ketika kejadian, diminta tampil membantu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan serta sentiasa berhati-hati ketika berada di lebuh raya.






