SEORANG kanak-kanak perempuan lima tahun tersepit jari tangan kanan pada eskalator di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang.
Sebaik sahaja dimaklumkan, pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah bergegas ke lokasi dengan kekuatan enam anggota.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Che Mohd Solehuddin Che Jusoh berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang kanak-kanak perempuan tersepit jari pada eskalator.
“Mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, didapati tersepit jari tangan kanan dan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan dan tindakan selanjutnya.






