Dua pengarah syarikat kastor didakwa gagal bayar cukai RM193,306

DUA pengarah syarikat pembuatan roda kastor (besi troli) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini atas tujuh pertuduhan gagal menjelaskan cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM193,306.28.

Lim Hooi Cheng, 54, dan Karen Lo, 40, sebagai orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka yang merupakan orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 didakwa gagal menjelaskan bayaran cukai bagi tujuh tempoh bercukai antara Januari 2024 hingga Disember 2025.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Seberang Perai, dengan jumlah tunggakan cukai dan penalti bagi tujuh tempoh bercukai terbabit sebanyak RM193,306.28.

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 kerana melanggar Seksyen 26(5) akta sama dengan tidak membuat bayaran cukai dalam tempoh yang ditetapkan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohamad Syafiq Abdul Aziz, manakala Karen diwakili peguam P Ghandi.

Hooi Cheng pula hadir tanpa diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes selain memberi ruang kepada Hooi Cheng mendapatkan khidmat peguam, sekiranya ada.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here