PEMASANGAN Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu baru-baru ini bukan dilakukan secara sengaja.
Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kejadian yang tular dalam media sosial Jumaat lalu itu sebagai kes terpencil dan tidak disengajakan.
Beliau bagaimanapun berkata, siasatan akan dijalankan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, termasuk membabitkan pemasangan oleh orang awam.
“Saya rasa itu bukan kes yang disengajakan, kes yang terpencil yang tidak disengajakan.
“Apa pun, kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walaupun siapa juga yang memasangnya termasuk orang awam dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini, lapor Buletin TV3.
Sebelum ini tular video dalam media sosial memaparkan Jalur Gemilang dipasang di Batu Buruk tanpa lambang bulan dan bintang sehingga mencetuskan perhatian serta reaksi orang ramai.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat menjelaskan, Jalur Gemilang berkenaan sebenarnya mempunyai lambang bulan dan bintang, namun bahagian itu tercabut selepas dijahit pada bendera susulan ribut kuat.
Katanya, MBKT mengambil tindakan serta-merta dengan menurunkan bendera berkenaan pada Jumaat lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang baharu.
“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan.
“Selepas ini, kita tidak akan jahit lagi sebaliknya kita akan beli bendera yang sudah siap dan sempurna sepenuhnya,” katanya.
Lizan berkata, langkah itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, selain menjamin setiap Jalur Gemilang yang dipasang berada dalam keadaan baik dan mematuhi spesifikasi ditetapkan.





