DUA beranak bersama dua pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), antara Mac hingga November 2024.
Bagaimanapun, Chong Foo Yon, 75, Chong Kok Woo, 51, K. Kumaaravelu, 39, dan N. S. Sivakumar, 54, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasri Nordin.
Mengikut pertuduhan, Foo Yon selaku pemilik sebuah syarikat pembungkusan plastik didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikatnya kepada ejen PERKESO bagi permohonan insentif berkenaan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 2 November 2024.
Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu mengenai butiran matan yang mempunyai kepentingan kepada prinsipal dengan niat mengelirukan prinsipal.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran matan palsu itu jika dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Anaknya, Kok Woo pula didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan kesalahan sama di tempat, tarikh dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Kumaaravelu yang merupakan pengarah sebuah syarikat konsultasi dan latihan pembangunan turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif berkenaan di premis syarikatnya di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 14, 15 dan 24 Mac 2024.
Kumaaravelu turut didakwa bersama Sivakumar atas satu lagi pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif sama membabitkan sebuah syarikat kerja pendawaian dan telekomunikasi di Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 28 April 2024.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi semua tertuduh kecuali Kumaaravelu yang dicadangkan diikat jamin RM25,000, selain syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Foo Yon, Kok Woo dan Sivakumar diikat jamin RM10,000 setiap seorang, manakala Kumaaravelu RM20,000, masing-masing dengan seorang penjamin serta syarat tambahan sebelum menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Foo Yon dan Kok Woo diwakili peguam L. Y. Yong, manakala Kumaaravelu serta Sivakumar diwakili peguam P. Vishnuvarman.






