Polis serbu penempatan warga asing, buru suspek rogol wanita OKU

POLIS menyerbu sebuah penempatan warga asing di Bakau Tinggi, Chukai, awal pagi tadi dalam operasi khas memburu suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rogol membabitkan seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Operasi bermula jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi bersepadu itu memfokuskan usaha mengesan dan menahan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Beliau berkata, seramai 33 individu diperiksa dalam operasi itu membabitkan enam warga tempatan dan 27 warga asing.

“Daripada jumlah itu, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi itu turut dipantau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu bersama Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata, polis bersama JIM akan terus mempertingkatkan operasi dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing susulan kes berkenaan kerana perbuatan sedemikian boleh mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan siasatan.

Katanya, masyarakat juga diminta menggunakan media sosial secara berhemah serta tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan keresahan.

“Sebarang penyalahgunaan media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone (VSP),” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here