MALAYSIA berharap memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan dengan Iran dapat dimuktamadkan, sekali gus menjadi instrumen rasmi bagi memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam perbualan telefon bersama Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Republik Islam Iran, Brigadier Jeneral Seyed Majid Ebn-e-Reza.
Menerusi perkongsian di Facebook malam ini, beliau berkata, Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat Iran yang terkorban dalam konflik yang berlaku.
“Malaysia berharap gencatan senjata dapat dikekalkan dan penyelesaian melalui dialog serta diplomasi terus diberi ruang demi keamanan dan kestabilan rantau.
“Dalam menghadapi konflik ini, Iran telah memperlihatkan daya tahan termasuk melalui keupayaan pertahanan yang dibangunkan sendiri. Malaysia melihat ruang untuk kerjasama pertahanan yang lebih substantif, berasaskan hubungan persahabatan yang erat antara dua negara,” katanya dalam hantaran itu malam ini.
Mohamed Khaled memberitahu, Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik Iran dalam memudah cara laluan sepanjang tempoh konflik.
Beliau berkata, keselamatan laluan maritim termasuk di Selat Hormuz perlu terus terpelihara.
“Ke hadapan, Malaysia berharap MoU kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi untuk memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.
“Saya turut mengalu-alukan penyertaan Iran dalam LIMA tahun hadapan sebagai platform untuk memperluas hubungan dan meneroka kerjasama pertahanan yang lebih luas,” katanya.





