Polis cari saksi kemalangan maut juruteknik hospital di Kajang

POLIS meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Timur, Kajang, semalam yang meragut nyawa seorang juruteknik hospital wanita.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa, 35, sedang menunggang motosikal dari Hospital Kajang menuju ke sebuah sekolah di Sungai Kantan.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal di lorong kiri, manakala sebuah kereta dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun berada di lorong kanan dalam arah yang sama.

“Kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan masuk ke simpang sebelah kiri dan motosikal yang ditunggang mangsa gagal mengelak sebelum melanggar bahagian kiri kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

“Pihak polis sedang mengesan saksi yang berada di lokasi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut.

“Polis turut memohon kerjasama orang awam yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam), rakaman video atau kamera kenderaan, khususnya kenderaan yang melalui lokasi kejadian sekitar waktu kemalangan, untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502.

Naazron turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya dan meningkatkan tahap kewaspadaan ketika berada di jalan raya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here