PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau, selain ingatan serta ucapan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-79, semalam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, keadaan kesihatan Anwar semakin baik dan beliau akan meneruskan rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.
“Pada masa sama, YAB Perdana Menteri turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Sidang Khas bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji dan mendoakan agar persidangan berjalan lancar.
“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam memaklumkan Perdana Menteri sedang menjalani pemeriksaan dan prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah semalam berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).





