POLIS menahan dua suspek lelaki semalam yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di daerah Jasin minggu lalu dalam operasi berasingan.
Kedua-dua suspek berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang di tepi Jalan PPJ 3, Pekan Jasin, Melaka dan di Sagil, Tangkak, Johor.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Tangkak.
“Suspek pertama berusia 44 tahun, beralamat di Bemban, Melaka dan bekerja sebagai pembantu kedai baja, manakala suspek kedua berusia 45 tahun, beralamat di Petaling Jaya, Selangor serta bekerja sebagai buruh.
“Suspek kedua juga berstatus Orang Pengawasan Polis (OPP) IPD Tangkak. Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau masing-masing sebanyak 22 dan 30 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes samun berkenaan.





