AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor merampas lima set bubu naga yang dipasang tanpa kebenaran di perairan Klang, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 6.45 petang ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op EHSAN, Op TIRIS 4.0 dan Op KHAS TANJUNG 2 di sepanjang perairan Selangor.
Menurutnya, pasukan mengesan dua pelampung yang diikat dengan peralatan disyaki bubu naga ketika melakukan rondaan dan pemantauan di sektor operasi.
“Pelampung berkenaan dikesan kira-kira 0.4 batu nautika barat laut Sungai Sementa Kecil, Kapar.
“Pemerhatian selama lebih satu jam mendapati tiada bot nelayan menghampiri kawasan berkenaan sebelum pasukan mengambil tindakan merampas lima set bubu yang dipercayai dipasang tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peralatan berkenaan disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, penggunaan bubu naga dikesan semakin berleluasa di sepanjang perairan Selangor dengan pelbagai taktik digunakan oleh pihak tertentu untuk memasang peralatan berkenaan.
“Maritim Malaysia Negeri Selangor sentiasa komited mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh kawasan tanggungjawab bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang serta memastikan kelestarian sumber perikanan negara terus terpelihara,” katanya.
Maritim Malaysia turut menggesa masyarakat maritim dan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 untuk tindakan segera.





