Polis tahan wanita mengamuk guna pisau, pecahkan cermin kereta

SEORANG wanita dipercayai pesakit mental mengamuk sambil memegang sebilah pisau pemotong sayur dan bertindak memecahkan cermin belakang sebuah kereta di Taman Kemuning di Kulim malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 10.30 malam daripada pengadu iaitu lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pekerja kilang.

Beliau berkata, ketika kejadian pengadu berada di sebuah gerai burger di Taman Kemuning sebelum seorang wanita tidak dikenali berhampiran dengan kereta jenis Perodua Myvi miliknya secara tiba-tiba datang dan bertindak memecahkan cermin belakang serta lampu belakang kereta itu.

“Kawasan itu terbuka dan bebas. Pengadu meletakkan kereta di bahu lorong jalan terbabit sementara menunggu membeli burger dan tiba-tiba suspek datang dan memecahkan cermin belakang dan lampu belakang kereta itu menggunakan pisau pemotong sayur yang dipegang di kedua-dua belah tangan.

“Terdapat saksi awam yang berada di tempat kejadian melihat kejadian yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syamsul berkata, terdapat rakaman video melalui telefon milik orang awam berhubung kejadian yang tersebar dalam media sosial.

Berikutan itu, anggota Unit Polis Peronda (MPV) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tiba di lokasi kejadian dan menahan suspek wanita itu untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 33 tahun itu adalah seorang pesakit mental yang pernah menerima rawatan psikatrik di Hospital Kulim sejak tahun 2012 sehingga sekarang dan mempunyai kad pesakit mental.

“Kali terakhir suspek menerima rawatan pada Jun lalu dan suspek ditahan dan dibawa ke Hospital Kulim dengan bantuan pihak polis untuk rawatan.

“Hasil siasatan juga mendapati, suspek belum berkahwin dan pada mulanya dia tinggal bersama ibunya di Taman Angsana di Kulim, namun disebabkan tidak tahan dengan sikapnya, ibunya tinggal bersama anaknya yang lain di Butterworth, Pulau Pinang, ” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here