AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membantu mangsa sebuah bot dipercayai membawa pendatang tanpa izin warga Indonesia yang karam di perairan Pulau Pangkor, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pihak berkuasa menerima laporan pada jam 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemukan beberapa mangsa terapung di laut sebelum segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Menurut beliau, berikutan itu pihaknya segera mengaktifkan operasi SAR pada jam 6 pagi dengan mengerahkan KM Gagah dan Benteng 1203 ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi SAR itu turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan nelayan tempatan.
“Sebuah bot nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita yang kesemuanya warga Indonesia.
“Mangsa yang terselamat dibawa oleh PPM ke jeti Polis Marin Kampung Acheh untuk urusan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata, siasatan awal mendapati seramai 37 individu dipercayai berada di atas bot berkenaan ketika ia karam.
“Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala usaha mengesan baki 14 mangsa masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan penyelamat turut menemukan tiga beg berisi pakaian yang dipercayai milik mangsa di kawasan pencarian.
“Semua mangsa yang diselamatkan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu dan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata operasi SAR itu membabitkan pelbagai aset termasuk kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Indera Sakti, helikopter Fennec TLDM, dua bot tempur pantas TLDM, pesawat Bombardier CL-415 milik APMM serta bot ronda PPM yang menjalankan pemantauan udara dan operasi pencarian di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, tiada penemuan baharu dilaporkan. Maritim Malaysia kekal komited melaksanakan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua mangsa yang dipercayai terlibat dapat ditemukan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai khususnya komuniti maritim, supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan mangsa hilang atau objek mencurigakan yang ditemukan di laut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999.


