Bayi setahun empat bulan maut dipercayai didera nenek tiri

SEORANG bayi perempuan berusia setahun empat bulan dipercayai menjadi mangsa dera sebelum meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Johor Bahru, 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa yang merupakan bayi tidak sah taraf dijaga nenek tirinya sejak dilahirkan kerana ibu mangsa yang berusia 18 tahun masih menuntut di sebuah kolej vokasional di negeri ini.

Katanya, bayi berkenaan tinggal serumah bersama nenek tiri dan datuknya sejak lahir dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipijak serta dipukul menggunakan tangan dan kaki.

Beliau berkata, polis menerima laporan dibuat wanita berusia 39 tahun itu kira-kira jam 9.30 pagi pada 31 Julai lalu yang mendakwa bayi berkenaan ditemukan meninggal dunia ketika tidur di rumah mereka.

Menurutnya, wanita yang juga suri rumah itu mendakwa cuba mengejutkan bayi berkenaan daripada tidur namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Petugas kesihatan yang dipanggil cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada bayi itu, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi hari yang sama.

“Pada peringkat awal, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini, lapor Harian Metro.

Ab Rahaman berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang (HPG) pada jam 10.15 pagi, 2 Ogos lalu mendapati punca kematian disebabkan trauma pada bahagian perut dan dada akibat objek tumpul.

“Terdapat juga kesan luka dan lebam di badan bayi berkenaan dipercayai akibat daripada perbuatan penganiayaan ke atasnya sehingga menyebabkannya meninggal dunia,” katanya.

Susulan penemuan itu, Ab Rahaman berkata, kertas siasatan kemudian diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis kemudian menahan nenek tiri, datuk serta ibu mangsa bagi membantu siasatan dan kesemua mereka direman bermula 2 Ogos lalu sehingga esok.

“Kertas siasatan yang dilengkapkan sudah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor semalam.

“Kita mendapat arahan untuk menuduh nenek tiri mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, esok,” katanya.

Beliau berkata, datuk dan ibu mangsa pula dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here