Pertikaian politik menjelang PRN tidak jejaskan hubungan Kerajaan Perpaduan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pendirian dan pertikaian politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN), tidak menjejaskan hubungan kerja dalam Kabinet.

Beliau berkata, peningkatan suhu politik ketika berlangsungnya pilihan raya adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya mengganggu urusan pentadbiran kerajaan dan tumpuan terhadap kepentingan rakyat.

Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi juga berlangsung seperti biasa tanpa sebarang masalah, sekali gus menunjukkan urusan pentadbiran kerajaan terus berjalan lancar.

“Bila ada pilihan raya, suhunya naik sekejap, kemudian turun balik tapi jika mesyuarat tadi, biasa dan tidak saya kesan apa-apa masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, Kuala Lumpur hari ini, lapor BH.

Anwar berkata, mesyuarat berkenaan turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri lain.

Katanya, perbincangan Jemaah Menteri kekal tertumpu kepada agenda pembangunan negara dan usaha menyediakan kemudahan lebih baik kepada rakyat, bukannya terjejas oleh perbezaan politik antara parti dalam gabungan berkenaan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri hadir, Menteri-Menteri hadir dan perbincangan kita fokus mengenai pembangunan dan kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan meskipun parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berdepan perbezaan pendirian serta persaingan politik menjelang pilihan raya.

Pertikaian serta perbezaan pendirian antara parti komponen dalam Kerajaan MADANI bukan perkara baharu, khususnya apabila melibatkan isu politik, pembahagian kerusi dan persaingan menjelang pilihan raya negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Bagaimanapun, perbezaan pandangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada dinamika politik dalam sebuah kerajaan gabungan yang dianggotai parti-parti dengan latar belakang serta kepentingan politik berbeza.

Walaupun wujud percanggahan pendapat pada peringkat parti, keadaan itu tidak semestinya menjejaskan kestabilan pentadbiran negara atau hubungan kerja antara anggota Kabinet.

Kerjasama dalam kerajaan masih boleh diteruskan berasaskan tanggungjawab bersama, dengan tumpuan diberikan kepada pelaksanaan dasar, agenda pembangunan dan kepentingan rakyat.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here