Lima lelaki warga China ditahan pecah rumah di Cheras

POLIS menumpaskan satu sindiket pecah rumah membabitkan warga asing selepas menahan lima lelaki warga China dalam dua serbuan berasingan di Sri Petaling dan Pudu, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejayaan itu susulan kejadian pecah rumah di sebuah kediaman di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu.

Katanya, kejadian berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM6,000 membabitkan kehilangan wang tunai, barangan kemas dan sebuah beg silang berjenama mewah.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 9 Ogos sekitar jam 9.30 malam, dua operasi serbuan di kawasan Sri Petaling dan Pudu telah dilancarkan.

“Semasa serbuan, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan berserta pelbagai peralatan yang digunakan bagi pecah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, polis turut menemui semula barangan kes milik pengadu selain pelbagai barangan mewah lain termasuk jam tangan, dompet serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM10,000.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek terbabit turut dipercayai terlibat dalam dua lagi kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di sekitar Cheras.

“Kesemua suspek berusia antara 38 hingga 58 tahun kini ditahan reman bermula 10 hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” ujarnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here