Enam penumpang bas ekspres cedera langgar treler di PLUS

ENAM penumpang sebuah bas ekspres cedera ringan selepas kenderaan itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 169.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintendan Mohamad Sani Mat Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada bilik gerakan pada jam 1.09 pagi berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Kuala Lumpur dan membawa sembilan penumpang.

“Bas ekspres terbabit dipercayai melanggar bahagian belakang treler yang membawa muatan paip besi dan dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang ke Shah Alam, Selangor.

“Pemandu bas terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar bahagian belakang treler berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kedua bas mengalami kecederaan di bahagian hidung dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, manakala pemandu bas tidak cedera.

“Enam penumpang pula mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, manakala tiga lagi penumpang tidak cedera,” katanya.

Mohamad Sani berkata, saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu bas ekspres dan pemandu treler mendapati kedua-duanya negatif dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bandar Baharu atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Aizzat Omar di talian 012-2461813,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here