Peniaga makanan mengaku libas anak tiri guna penyangkut baju

SEORANG peniaga makanan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menganiaya anak tirinya berusia 10 tahun 11 bulan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi, minggu lalu.

Tertuduh, Syed Khairul Anwar Syed Jaafar, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Ogos lalu di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, Melaka Tengah.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kejadian, mangsa dikejutkan daripada tidur oleh tertuduh dan disuruh membuat latihan sekolah sebelum tertuduh menghampirinya sambil memegang penyangkut baju plastik.

Tertuduh kemudian didakwa melibas bahagian belakang badan mangsa sebanyak lima kali sehingga menyebabkan kesan lebam pada bahagian punggung.

Kejadian itu dikatakan berlaku beberapa kali sebelum ini, namun ibu mangsa tidak mengambil tindakan kerana mendakwa suaminya seorang yang panas baran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dibenarkan diikat jamin dengan alasan hanya bekerja sebagai peniaga makanan selain perlu menanggung tiga anak kandung dan dua anak tiri.

Tertuduh turut menyatakan kekesalan atas perbuatannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan menetapkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here