SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada seorang pegawai Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas pencapaian cemerlang selepas dinobatkan sebagai penuntut terbaik keseluruhan Kursus ‘Sniper Infantry’ di Shijiazhuang Campus, PLA Infantry Academy di Hebei, China.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Selangor hari ini, kursus berkenaan berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Julai lalu.
Baginda menzahirkan rasa bangga apabila pegawai berkenaan dinobatkan sebagai penuntut terbaik keseluruhan Kursus Sniper 2026 dan dianugerahkan ‘Excellent Student Awards’.
Selain itu, pegawai berkenaan turut menerima ‘Certificate of Honors – Excellent Cadre’ serta ‘Silver Badge Medals’ berdasarkan pencapaian dalam penilaian kursus.
Kejayaan tersebut amat membanggakan memandangkan ia dicapai daripada keseluruhan 131 penuntut dari lebih 24 negara yang menyertai kursus berkenaan.
“Pencapaian terbaik daripada 131 penuntut dari lebih 24 negara merupakan suatu perkara yang harus dibanggakan dan akan menjadi contoh kepada pegawai dan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) yang lain agar berusaha lebih gigih dalam mengharumkan nama pasukan dan negara,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain serta seluruh warga Paskal dan TLDM atas kejayaan tersebut.
Baginda menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.





