Albert Tei fail pembelaan nafi fitnah Azam Baki

AHLI perniagaan, Albert Tei menafikan telah memfitnah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan mengatakan kenyataannya sama ada benar secara substantif atau komen wajar dan pendapat jujur mengenai perkara yang berkepentingan awam.

Albert memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukakan Azam di Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu.

Azam sebelum ini menuntut ganti rugi dan injunksi berhubung kenyataan yang dibuat dalam suatu audio siar serta catatan susulan di media sosial dan YouTube pada Mei lalu.

Azam mendakwa Albert menuduhnya memanipulasi siasatan SPRM, bertindak sebagai orang tengah dalam perkara rasuah di Sabah, menyalahgunakan kedudukan untuk melindungi ahli politik dan cuba mendiamkan ahli perniagaan itu.

Azam turut menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai palsu dan berniat jahat, selain berkata, ia memberi gambaran bahawa beliau mengawal siasatan SPRM, bersekongkol dengan ahli politik, menghalang keadilan dan menyalahgunakan kedudukan sebagai Ketua Pesuruhjaya.

Azam turut menuduh Albert gagal mengesahkan dakwaan berkenaan atau mendapatkan respons daripadanya sebelum ia diterbitkan.

Katanya, dakwaan itu turut diterbitkan semula di pelbagai platform, menyebabkan kerosakan lanjut terhadap reputasinya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menuntut ganti rugi, pengisytiharan bahawa kenyataan berkenaan adalah palsu dan memfitnah, serta injunksi kekal yang menghalang Albert daripada mengulanginya. Beliau juga mahu audio siar dan kandungan berkaitan di media sosial dipadamkan.

Dalam pembelaannya, Albert berkata, Azam memilih petikan tertentu daripada audio siar berdurasi dua jam 11 minit itu sambil mengabaikan konteks keseluruhan, kronologi dan penjelasan yang diberikan.

Beliau berhujah bahawa pendengar biasa akan memahami kenyataan itu sebagai kritikan, komen dan pendapat mengenai tindakan seorang pegawai kanan awam.

Pembelaan utama Albert adalah justifikasi, menegaskan bahawa kenyataan berkenaan benar secara substantif dan fakta, lapor FMT.

Katanya lagi, dakwaan itu timbul daripada dokumen, komunikasi dan peristiwa yang melibatkan Azam dan peguamnya berhubung dakwaan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Sebagai alternatif, Albert mendakwa kenyataannya merupakan komen wajar dan pendapat jujur berhubung isu kepentingan awam yang sah, melibatkan tindakan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Albert turut mempertikaikan dakwaan mengenai kerosakan besar terhadap reputasi Azam, dengan merujuk kepada kritikan awam terhadap Azam sebelum ini.

Ahli perniagaan itu berkata, tujuannya adalah untuk membangkitkan isu tadbir urus dan kebertanggungjawaban, bukannya menyerang Azam secara berniat jahat.

Beliau seterusnya berhujah bahawa injunksi yang dipohon akan menyekat kebebasan bersuaranya di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan dan memberi kesan negatif ke atas penelitian awam terhadap pegawai kanan awam.

Peguam dalam pasukan pembela Albert, Mahajoth Singh berkata, pendaftar mahkamah semalam mengarahkan pihak-pihak berkenaan memfailkan dokumen praperbicaraan masing-masing sebelum pengurusan kes seterusnya pada 11 November.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here