Tiket GP Bahrain di Sepang mula dijual serendah RM200

TIKET bagi menyaksikan Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober depan kini mula dijual, dengan peminat Malaysia berpeluang mendapatkan pas tiga hari serendah RM200.

Berdasarkan harga tiket yang diumumkan Litar Antarabangsa Bahrain, rakyat Malaysia yang memiliki MyKad boleh memilih daripada enam kategori tiket, dengan pilihan Hillstand G berharga RM200 sebagai pakej paling murah.

Bagi peminat antarabangsa pula, harga tiket tiga hari ditawarkan antara AS$218.90 (RM895) hingga AS$566.05 (RM2,316).

Perlumbaan itu menandakan kepulangan Formula 1 ke Malaysia buat kali pertama sejak 2017 selepas acara berkenaan menggantikan Grand Prix Bahrain yang tidak dapat berlangsung mengikut jadual asal.

Bagi rakyat Malaysia, tiket tiga hari bagi kategori Grandstand Utama berharga RM2,083.40, diikuti Grandstand K1 (RM1,386), Grandstand F (RM1,291.40), Hillstands B dan C (RM809.60) serta Hillstand G (RM200).

Sementara itu, peminat antarabangsa perlu membayar AS$566.05 untuk Main Grandstand, diikuti Grandstand F (AS$376.39), K1 Grandstand (AS$350.13) serta Hillstands B dan C (AS$218.90).

Tiket kategori grandstand menawarkan tempat duduk serta pemandangan dari kawasan bumbung, manakala Hillstands B, C dan G menyediakan kawasan tontonan terbuka berumput.

Semua harga tiket termasuk cukai, manakala transaksi pembelian bagi peminat antarabangsa akan diproses dalam mata wang dinar Bahrain mengikut kadar pertukaran semasa ketika pembelian dibuat.

Tiket berkenaan meliputi keseluruhan hujung minggu perlumbaan bermula Jumaat, 2 Oktober hingga Ahad, 4 Oktober.

Kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun layak menerima diskaun 25 peratus kecuali kategori Hillstand G, manakala kanak-kanak bawah tiga tahun boleh masuk secara percuma tetapi tidak disediakan tempat duduk.

Tiket kini boleh dibeli menerusi platform jualan rasmi tiket Litar Antarabangsa Bahrain.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here