KPK tekad perkukuh sektor agrikomoditi, tingkatkan pendapatan pekebun kecil

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus memperkukuh keseluruhan ekosistem agrikomoditi dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengeluaran, tetapi juga peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, pembangunan produk hiliran, peluasan pasaran dan peningkatan pendapatan pekebun kecil.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, usaha itu merangkumi semua sektor di bawah kementerian iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf yang masing-masing mempunyai kekuatan, cabaran dan peluang yang perlu diberikan perhatian.

DATUK Seri Dr Noraini Ahmad. GAMBAR: KPK

Beliau berkata, kementerian juga perlu terus membangunkan bidang baharu seperti biobahan api dan biojisim, selain meningkatkan penyertaan generasi muda melalui Skuad Agrikomoditi KPK.

“Kita juga perlu memperluas pasaran bagi produk agrikomoditi Malaysia, menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Santunan Bakti KPK Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Menurut Noraini, langkah itu merupakan antara usaha yang dapat memperkukuh daya saing sektor agrikomoditi dalam jangka panjang.

Beliau memberitahu, sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM90.96 bilion atau 5.24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, meningkat 4.01 peratus berbanding RM87.46 bilion pada 2024.

Bagaimanapun, Noraini berkata, pencapaian pada 2025 tidak boleh menjadikan kementerian selesa, sebaliknya perlu menjadi asas untuk bekerja dengan lebih tersusun bagi mengekalkan momentum, menangani cabaran semasa dan memastikan sektor agrikomoditi terus memberikan sumbangan yang kukuh kepada ekonomi negara.

Memasuki 2026, katanya, sektor pertanian berkembang 2.6 peratus pada suku pertama, disokong antaranya oleh prestasi subsektor kelapa sawit.

Namun, beliau berkata, prestasi sektor itu boleh berubah mengikut keadaan pengeluaran, harga pasaran dan perkembangan ekonomi global, manakala anggaran awal bagi suku kedua menunjukkan wujud tekanan terhadap sektor pertanian termasuk subsektor kelapa sawit.

“Anggaran awal bagi suku kedua menunjukkan wujud tekanan terhadap sektor pertanian, termasuk subsektor kelapa sawit,” katanya.

Noraini memberitahu, pencapaian sektor agrikomoditi perlu menjadi asas kepada usaha mengekalkan momentum, menangani cabaran semasa dan memastikan sektor itu terus memberikan sumbangan yang kukuh kepada ekonomi negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here