KPK galak pekebun kecil pelbagaikan pendapatan melalui integrasi sawit, ternakan

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) terus komited memperkasa pekebun kecil sawit menerusi pelbagai skim insentif bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), yang bertujuan mengoptimumkan penggunaan tanah sawit serta mengurangkan kebergantungan pekebun kecil terhadap hasil sawit semata-mata.

DATUK Seri Dr Noraini Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Projek Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) melibatkan projek ternakan itik penelur di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat hari ini

“Melalui skim-skim ini, kita mahu pekebun kecil mempunyai sumber pendapatan tambahan yang lebih stabil dan mampu meningkatkan daya tahan ekonomi keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) melibatkan projek ternakan itik penelur di Kampung Gombak, Peserai di Batu Pahat hari ini.

Menurut beliau, kerajaan menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi pekebun kecil, termasuk kos pengurusan kebun yang tinggi, keperluan mencari pendapatan tambahan serta keperluan mendapatkan bimbingan dan latihan.

Noraini berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 288 projek integrasi tanaman telah diluluskan di Johor, dengan 63 daripadanya dilaksanakan di daerah Batu Pahat, melibatkan tanaman seperti pisang, nanas, serai dan cendawan.

Bagi Skim ITe pula, katanya, kerajaan menyediakan bantuan sehingga RM15,000 bagi setiap projek untuk pembinaan kandang, pembelian anak ternakan, makanan, ubat-ubatan dan input lain yang diperlukan.

“Sehingga kini, sebanyak 170 projek integrasi ternakan telah diluluskan di Johor dan 53 daripadanya berada di Batu Pahat, melibatkan ternakan ayam dan itik,” katanya.

Dalam lawatan itu, Noraini turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan seorang peserta Skim ITe, Mohamad Danial Md Jalil, yang berjaya mengembangkan projek ternakan itik penelur secara integrasi dengan tanaman sawit.

Beliau berkata, Mohamad Danial menerima bantuan kerajaan sebanyak RM15,000 pada Disember 2023 untuk memulakan projek ternakan 200 ekor itik penelur baka Khaki Campbell di kebun sawit seluas 0.6807 hektar.

Menurutnya, projek berkenaan yang pada awalnya menghasilkan sekitar 130 hingga 150 biji telur sehari kini berkembang kepada 360 ekor itik penelur dengan pengeluaran mencecah kira-kira 240 biji telur sehari.

“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik. Daripada sekadar projek bantuan, ia kini berkembang menjadi perusahaan kecil yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, sejak Disember 2023 hingga Mei 2026, projek tersebut telah menghasilkan sebanyak 94,860 biji telur itik dengan pendapatan kasar berjumlah RM126,035.

Katanya, projek itu mampu memberikan pendapatan sampingan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan kepada pengusahanya.

“Lebih menarik, telur itik yang dihasilkan bukan sahaja dijual terus kepada pengguna dan pemborong, malah diproses menjadi telur masin yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran tempatan,” katanya.

Menurut Noraini, pendekatan integrasi itu membuktikan bahawa tanaman sawit bukan sekadar sumber hasil ladang, malah berpotensi menjadi asas kepada pembangunan ekonomi keluarga dan komuniti.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam memastikan industri sawit negara kekal mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pengiktirafan terbaru yang diberikan oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA) terhadap MSPO sebagai Private Control System di bawah kerangka Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) merupakan perkembangan positif bagi industri sawit negara.

“Penerimaan ini menunjukkan bahawa usaha Malaysia dalam memastikan industri sawit diusahakan secara mampan, tersusun dan bertanggungjawab semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun kecil yang masih belum mendapatkan pensijilan MSPO supaya mengambil peluang berbuat demikian kerana kerajaan menanggung sepenuhnya kos pensijilan, termasuk yuran audit, latihan dan sokongan berkaitan.

Noraini berkata, KPK akan terus komited memperkasa pekebun kecil sawit agar industri tersebut kekal mampan, berdaya saing dan terus memberi manfaat kepada rakyat, khususnya masyarakat di peringkat akar umbi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img