EMPAT anggota Unit Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 2, Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima surat penghargaan selepas tindakan pantas mereka ketika menjalankan rondaan berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kecurian kabel.
Penghargaan itu disampaikan Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali kepada Sarjan Mohd Nazri Darus @ Che Rose, Koperal Aminuddin Alias, Koperal Fahrul Rizad Mohd Radzi dan Konstabel Vaila Vildano Makotad di pejabatnya di Bukit Aman, hari ini.
JSPT menerusi perkongsian di Facebook berkata, keempat-empat anggota terbabit berjaya mengesan sebuah kenderaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan penguatkuasaan di Kilometer (KM) 134.3 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan, baru-baru ini.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap kenderaan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki yang dipercayai membawa kabel tembaga yang sudah dibakar dan disyaki barangan curi.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk menjalani saringan air kencing dan didapati positif dadah,” menurut hantaran itu hari ini.
JSPT berkata, kejayaan itu mencerminkan tahap kecekapan, keberanian dan komitmen tinggi anggota berkenaan dalam melaksanakan tugas.
Katanya, tindakan berkenaan turut memperkukuhkan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.
Dalam pertemuan itu, Muhammed Hasbullah turut menzahirkan penghargaan atas dedikasi yang dipamerkan keempat-empat anggota terbabit.
Beliau berharap kecemerlangan seumpama itu terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga JSPT untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, negara dan pasukan.





