Polis tahu bagaimana juruterbang bawa 26kg dadah lepas saringan KLIA

POLIS sudah mengenal pasti bagaimana seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia bersama lebih 26 kilogram dadah pada akhir bulan lalu berjaya melepasi prosedur saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas pasukannya bertemu dan menyoal siasat juruterbang terbabit sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, butiran lanjut mengenai perkara itu belum boleh didedahkan kepada umum ketika ini.

“Juruterbang berkenaan turut memberikan kerjasama yang baik,” katanya, lapor Berita Harian.

Hussein berkata, Bukit Aman turut memperoleh maklumat penting berhubung rangkaian dadah antarabangsa yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Justeru, katanya, polis kini menjejaki anggota sindiket dadah di Malaysia dan luar negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia dilaporkan berkata, juruterbang yang bertugas dengan Malaysia Airlines itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai lalu.

Penahanan itu dibuat selepas pemeriksaan mendapati dia membawa 25 kilogram pil ekstasi dan 2.7 gram methamphetamine.

Bagaimanapun, Malaysian Aviation Group (MAG) kemudian menjelaskan juruterbang terbabit ialah pegawai kedua yang tidak bertugas dan menaiki tempat duduk tambahan dalam kokpit sebagai pemerhati, bukan mengendalikan penerbangan berkenaan.

Susulan kes itu, MAG mengarahkan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang syarikat penerbangan di bawah kumpulannya.

Saringan itu dimulakan membabitkan 1,260 juruterbang Malaysia Airlines, selain pihak berkuasa turut mengetatkan prosedur saringan keselamatan di lapangan terbang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here