Vesel nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia ditahan

SEBUAH vesel nelayan asing dari Indonesia bersama lima kru ditahan selepas dipercayai menceroboh perairan Malaysia dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang, semalam.

Vesel kayu tanpa nombor pendaftaran itu ditahan Maritim Malaysia ketika Kapal Maritim (KM) Semilang menjalankan rondaan rutin kira-kira 38 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pada jam 11.20 pagi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, vesel berkenaan dikesan mencurigakan ketika sedang berapung sebelum pihaknya menghampiri dan menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel kayu tanpa nombor pendaftaran itu berasal dari Pantai Labu, Medan, Indonesia dan dikendalikan lima kru berusia antara 17 hingga 44 tahun.

“Mereka terdiri daripada seorang tekong dan empat awak-awak yang kesemuanya merupakan warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain tidak mempunyai dokumen atau kebenaran sah untuk memasuki Malaysia.

Katanya, mereka turut disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kesemua kru ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan membabitkan vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut berjumlah kira-kira RM3 juta,” katanya.

Menurutnya, tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan lima vesel nelayan asing ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, tindakan itu hasil penguatkuasaan berterusan bagi membanteras pencerobohan vesel asing dan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara.

“Vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil rampasan kemudian diiringi ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pencerobohan vesel asing serta sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

“Rondaan dan pengawasan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram sekali gus mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara kelestarian sumber marin.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here