SEORANG lelaki warga tempatan diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Tanjung Malim, bulan lalu.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Rawang, Selangor kira-kira jam 11.30 malam, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun pada 1 Julai lalu berhubung kejadian kira-kira jam 1.49 pagi.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa disamun oleh dua lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pisau.
“Suspek bertindak merampas wang tunai, barang kemas serta dua telefon bimbit milik mangsa dengan kerugian dianggarkan RM4,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil serbuan, polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, suspek kini direman selama enam hari sehingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” katanya.





