JUMLAH mangsa yang terkorban dalam gempa bumi di Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, meningkat kepada 38 orang setakat jam 3 petang (jam 4 petang waktu Malaysia) hari ini.
Ketua Agensi Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, Leftenan Jeneral Suharyanto, berkata, dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala 11 lagi cedera ringan.
Beliau berkata kira-kira 2,000 penduduk terpaksa berpindah dan berlindung secara sendiri susulan gempa berkenaan.
Katanya, gempa bumi itu turut menyebabkan kerosakan kepada sejumlah infrastruktur, termasuk jalan raya yang ditutup akibat tanah runtuh serta puluhan rumah penduduk.
Suharyanto berkata beberapa pusat kesihatan masyarakat (Puskesmas) turut mengalami kerosakan, manakala sebuah hospital di Maumere dilaporkan terjejas.
Dalam sektor pengangkutan, lima lapangan terbang turut menerima kesan akibat gempa, namun kerosakan tidak melibatkan landasan.
“Sebanyak lima lapangan terbang terjejas, namun bukan landasan yang rosak. Kerosakan berlaku pada bangunan terminal dan tahapnya masih dinilai,” katanya.
Dua pelabuhan iaitu Pelabuhan Reo dan Pelabuhan Maumere turut dilaporkan terjejas.
Sebelum ini, Gabenor NTT, Melkiades Laka Lena, memaklumkan seramai 33 orang maut akibat gempa di Pulau Flores.
Berdasarkan data awal, tiga kematian dilaporkan di Sikka, seorang di Ngada, 14 di Manggarai dan seorang lagi di Manggarai Barat.
Seramai 23 mangsa turut dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di beberapa hospital serta Pusat Kesihatan Masyarakat.
Sementara itu, Suharyanto berkata sebanyak 31 gempa susulan direkodkan sehingga jam 3 petang berdasarkan maklumat Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).
Daripada jumlah itu, empat gempa susulan mempunyai magnitud yang agak besar.
Antaranya, gempa bermagnitud 6.2 direkodkan pada awal pagi dengan kedalaman sekitar 10 kilometer di kawasan laut.
Gempa utama yang melanda Flores pada Sabtu dilaporkan berukuran magnitud 7.7, menyebabkan kerosakan bangunan dan mencetuskan kepanikan penduduk di beberapa kawasan.





