Tanding 15 kerusi, abang Akmal jadi calon..jangan pandang ringan cabaran Bersama!

SELEPAS membuat keputusan tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan (NS), Bersama yang diterajui oleh Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan 15 calon parti itu yang akan bertanding pada PRN Melaka tidak lama lagi.

Jumlah 15 kerusi adalah jumlah majoriti  mudah untuk menubuhkan kerajaan di Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN. Manakala bagi mencapai majoriti dua pertiga, jumlah kerusi yang diperlukan ialah 19 kerusi.

“Di Melaka, untuk membentuk kerajaan majoritinya ialah 15. Jadi, kalau korang semua undi kita menang 15, insya-Allah ada ketua menteri Kancil dekat Melaka,” katanya  Rafizi pada Himpunan Bersama di Petaling Jaya malam tadi.

Rafizi berkata, Bersama sudah mula menyediakan manifestonya untuk Melaka dan akan memperkenalkannya pada acara kempen pertama pada malam hari penamaan calon.

“Kami mahu mengelak daripada menjadi seperti parti utama lain, di mana hari penamaan calon tiba dan mereka menunggu seminggu lagi untuk melancarkan manifesto kerana masuk bertanding tanpa menyiapkannya terlebih dahulu,” katanya.

Walaupun bila PRN itu akan diadakan masih belum diputuskan namun seperti mana kata Nik Nazmi Nik Ahmad, ia dilakukan bagi membolehkan calon memperkenalkan diri lebih awal.

“Kita umum calon lebih awal supaya mereka dapat memperkenalkan diri kepada pengundi dengan lebih pantas. Anda pasti terkejut dengan impak yang boleh dicapai apabila menemui pengundi di lapangan lebih awal,” katanya.

Bersama akan bertanding di 15 kerusi termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang menjadi perhatian apabila parti itu meletakkan Dr Solehin Saleh iaitu abang kepada ADUN Merlimau Datuk Dr.Akmal Saleh.

DUN Bemban dan Merlimau berada dalam satu kawasan Parlimen Jasin yang Ahli Parlimennya ialah Zulkifli Ismail daripada Pas. Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 322 undi.

Jumlah undi itu hanya kurang enam undi daripada undi majoriti yang dimenangi oleh Dr.Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bersatu) di DUN Bemban dengan majoriti 328 undi.

Dr Akmal Saleh yang juga Ketua Pemuda UMNO memenangi kerusi DUN Merlimau dengan majoriti 3,248 undi.

Tiga lagi kerusi dalam Parlimen Jasin ialah Rim, Serkam dan Sungai Rambai – ketiga-tiga dikuasai Barisan Nasional (BN).

Selain kerusi Bemban, 14 lagi kerusi yang akan ditandingi oleh Bersama ialah DUN Kuala Linggi dengan mencalonkan Ruzsyahriman Jenal, Rembia (Aman Akil Abdul Talib), Gadek  (B Laveen), Machap Jaya ( B Prasanth Kumar), Sungai Udang (Ridzuan Abdul Rahman), Paya Rumput (Abdul Rashid Abu Bakar), Kelebang (Yong Jie Yu) dan Pengkalan Batu ( Goh Han Koon).

Kerusi lain yang dicabar oleh Bersama ialah  Ayer Keroh ( Muhaimin Lau Abdullah), Bukit Katil( Aliza Che Amran), Kesidang  (Bryan Kek), Kota Laksamana (Ethan Lim), Telok Mas(Hazwan Mustafa) dan Serkam (Saffie Yasan).

Dengan keputusan untuk bertanding di 15 kerusi itu, calon Bersama dijangka bertembung dengan calon BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu.

Daripada kesemua 15 kerusi itu, sembilan kerusi disandang oleh BN, PH (4 kerusi) dan PN (2 kerusi) dan daripada  jumlah tersebut pula terdapat sembilan kerusi dimenangi oleh BN dan PN dengan majoriti  bawah 1,000 undi.

Selain Bemban yang dimenangi oleh Dr.Mohd Yadzil (PN) dengan majoriti 328 undi, kerusi lain ialah Rembia (BN 860 undi), Gadek (BN 559 undi), Machap Jaya (BN 938 undi), Sungai Udang (PN 530 undi), Paya Rumput (BN  629 undi), Kelebang (BN 876 undi), Pengkalan Batu (BN  131 undi) dan Serkam (BN 79 undi).

Enam kerusi lagi yang dicabar oleh Bersama disandang oleh BN dan PH dengan majoriti atas 1,000 undi iaitu Kuala Linggi (BN 1,836 undi), Ayer Keroh (PH 5,624 undi), Bukit Katil (PH 1,057 undi), Kesidang (PH 10,237 undi), Kota Laksamana (PH 11,494 undi) dan Telok Mas(BN 2,076 undi).

Penyertaan Bersama dalam PRN Melaka tidak boleh dipandang remeh. Ia memandangkan kehadiran parti serpihan PKR itu akan mencetuskan persaingan sengit terutamanya di kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis oleh BN dan PN.

Selain sembilan kerusi majoriti tipis yang akan ditandingi oleh Bersama itu, terdapat empat lagi kerusi berada dalam kedudukan yang sama iaitu Tanjung Bidara yang dimenangi oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Jusoh (BN)  dengan majoriti 364 undi, Durian Tunggal (BN 559 undi), Pantai Kundor (BN 827 undi) dan  Duyong (200 undi).

Walaupun Bersama tidak bertanding di empat kerusi itu namun pertembungan sengit pasti berlaku khususnya melibatkan BN dan PN – jika tiada persefahaman dicapai untuk mengelakkan pertembungan.

Bagaimanapun dengan PH juga berhasrat menjalin kerjasama dengan BN, sudah pastilah mahu tidak mahu PN  terpaksa bertanding secara solo…pada pandangan penulis itu lebih baik…kenapa? Kita bincang kemudian.

Apa yang penting, kehadiran Bersama di PRN Melaka jangan dipandang ringan kerana apa yang berlaku di PRN Negeri Sembilan membuktikan segalanya berkemungkinan kerana kuasa mutlak ditentukan oleh rakyat bukan parti.

Dengan kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis sebanyak 13 daripada 28 kerusi maka bak kata seorang kawan…’’Melaka bumi yang bakal terbakar’’…mungkin ketika PRN…siapa tahu?



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here