Kerajaan tidak pernah, tiada perancangan untuk kawal media – Fahmi

KERAJAAN tidak berhasrat untuk mengawal media, sebaliknya sebarang isu membabitkan penyampaian maklumat tidak benar akan ditangani secara tertib dan beradab.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan kerajaan ketika ini berbeza berbanding keadaan pada masa lalu apabila media didakwa menerima arahan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Ada kawan-kawan sehingga hari ini, masih bertanya, kenapa Fahmi Fadzil tidak mengawal TV?.

“Kita lahir di atas jalanan, menentang kuasa yang mengarah, pemerintah yang memaksa untuk melakukan macam-macam terhadap Datuk Seri Presiden kita semua. Adakah kita nak mengulangi kezaliman seperti itu? Sudah pasti tidak.

“Kita bukan dalam mod untuk mengawal media, tidak. Tapi sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak benar, maka kita akan berurusan dengan media secara tertib dan beradab,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, pasukan penerangan parti turut akan mengubah strategi bagi memastikan usaha dan pencapaian kerajaan dapat difahami rakyat.

Antara pendekatan yang dilaksanakan adalah siri ceramah dalam kelompok kecil yang dimulakan di Klebang dan Sungai Udang, Melaka.

Katanya, pendekatan itu membolehkan interaksi secara lebih santai dengan rakyat, selain memudahkan penerangan mengenai isu yang mungkin kompleks dan memerlukan penjelasan lebih terperinci.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026, mengakui kelemahan kerajaan dalam menyampaikan usaha dan perubahan yang dilaksanakan kepada rakyat secara berkesan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here