Anthony Loke mohon maaf tewas di DUN Chennah, akui sukar tembusi undi Melayu

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke hari ini memohon maaf kepada perwakilan kongres khas parti itu atas kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.

Beliau menjelaskan, keputusannya bertanding bukan semata-mata untuk kepentingan peribadi, sebaliknya mahu membuktikan DAP mampu mendapat sokongan lebih luas daripada pengundi pelbagai kaum.

Bagaimanapun, beliau mengakui misi itu tidak berjaya selepas parti gagal meraih sokongan Melayu dan Orang Asli pada tahap diharapkan.

“Saya memohon maaf kepada perwakilan atas kekalahan ini di Chennah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Menteri Pengangkutan itu turut menegaskan DAP perlu mencari jalan memecahkan ‘tembok’ politik perkauman jika mahu memperluas penerimaan parti dalam kalangan rakyat.

Pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, Anthony tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.

Dua hari selepas PRN Negeri Sembilan iaitu pada 3 Ogos lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang diterajuinya selama 22 tahun, atas rasa bertanggungjawab terhadap kekalahan DAP di DUN Chennah dan Repah.

DAP menang sembilan kerusi dan gagal mempertahankan dua kerusi berkenaan.

Di sebalik kekalahan pada beberapa pilihan raya, Anthony mengingatkan ahli DAP bahawa ia tidak seharusnya melemahkan perjuangan parti, sambil menyatakan parti itu pernah melalui banyak kekalahan sepanjang sejarahnya.

“Pilihan raya ada menang, ada kalah. Kita sudah ada pengalaman pilihan raya selama 60 tahun. Kita menghadapi banyak kekalahan pada awal perjuangan kita, tetapi kita tidak berputus asa dan terus bergerak ke hadapan.

“Selagi kita tidak berputus asa, masa depan DAP akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here