PM tegaskan tiada akta baharu bakal ganti AUKU yang akan dimansuh sepenuhnya

KERAJAAN akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) secara menyeluruh tanpa menggantikannya dengan undang-undang baharu yang boleh mengekang kebebasan mahasiswa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk sekadar meminda AUKU, sebaliknya akta berkenaan mesti dimansuhkan sepenuhnya.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi menjamin kebebasan hakiki mahasiswa serta memastikan idealisme dan pergerakan mereka di kampus tidak dikongkong menerusi undang-undang khusus.

“AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya. Ada kebimbangan kononnya bila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu diperkenalkan yang juga mengongkong dan menyekat.

“Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa,” katanya ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini, lapor FMT.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, undang-undang sedia ada negara sudah memadai menangani kesalahan jenayah umum tanpa memerlukan akta khusus yang menyekat mahasiswa.

Menurut Anwar, prinsip berkenaan telah diperkenalkan sejak 1974 dan tidak wajar diteruskan dalam bentuk baharu.

“Saya tidak bermaksud melonggarkan peraturan tata tertib jenayah sedia ada, tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan,” katanya sambil menyatakan pendirian itu ditegaskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

Perdana Menteri semalam mengumumkan pemansuhan AUKU dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kemudiannya menjelaskan sudah ada sebuah akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Menurutnya, proses menggubal kerangka baharu itu akan dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan kepimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here