DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan khidmat Naib Presiden parti, Datuk Seri Aminuddin Harun masih diperlukan di sebalik kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pengalaman bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu masih boleh dimanfaatkan khususnya dalam usaha membimbing barisan kepimpinan muda dan memperkukuh PKR.
“Kita tidak dapat memuaskan semua pihak. Ada yang kurang berhasil dan kalah dalam pertarungan.
“Tetapi penghormatan saya dan kebanggaan saya terhadap beliau lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Perdana Menteri turut memuji Aminuddin yang menerima kekalahan pada PRN Negeri Sembilan dengan sabar serta tidak menyalahkan mana-mana pihak.
“Ia wajar dijadikan teladan oleh ahli parti,” katanya sambil menyifatkan Pengerusi PH Negeri Sembilan itu sebagai rakan baik.
Aminuddin dalam penggulungannya mengambil tanggungjawab atas kekalahan PKR dan PH pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.
Pilihan raya itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menang 25 daripada 36 kerusi, sekali gus merampas pentadbiran Negeri Sembilan daripada PH.
Aminuddin turut tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.
PKR hanya memenangi dua daripada 16 kerusi yang ditandinginya. DAP pula memenangi sembilan daripada 11 kerusi yang ditandingi, manakala Amanah gagal memenangi sebarang kerusi.
Susulan itu, Aminuddin menerima desakan enam bahagian PKR Negeri Sembilan supaya beliau berundur sebagai Pengerusi PKR negeri.





