PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersedia menerima apa juga keputusan dibuat Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kedudukannya sebagai ketua UMNO negeri itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, meski pun sebelum ini di beberapa negeri, Pengerusi UMNO negeri bukan dalam kalangan Menteri Besar, keputusan sama ada mengekalkannya atau tidak adalah hak prerogatif Ahmad Zahid.
“Jadi, kita tunggulah pengumuman daripada Presiden, terpulang kepada beliau sama ada nak umum dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO atau pada bila-bila masa yang beliau fikir sesuai,” katanya ketika ditemui Program Ekspedisi Memburu Baung Ekor Merah di Empangan Sungai Buloh, Jelebu hari ini, lapor BH.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, beliau tiada masalah sama ada dikekalkan atau tidak bagi jawatan ketua UMNO negeri.
Nama beliau sebelum ini antara tiga calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Presiden UMNO mengusulkan tiga nama itu ketika menghadap baginda di Istana Hinggap Negeri Sembilan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diumumkan pada 1 Ogos lalu.
Sehari kemudian iaitu pada 2 Ogos lalu, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan baharu selepas BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.




