Jalaluddin nafi dakwaan ADUN UMNO kembali sertai kerajaan negeri

PENGERUSI UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini menafikan khabar angin terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu kembali mengisi jawatan Exco kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin dan tidak boleh dipercayai.

“Itu adalah khabar angin,palsu,” katanya ringkas menafikan berita yang tersiar sebuah akhbar hari ini.

ADUN Lenggeng, Datuk Asna Amin yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pula berkata, wakil rakyat di negeri itu masih belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan Pusat.

Beliau berkata, mereka hanya akan bertindak mengikut arahan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami pimpinan UMNO negeri masih belum menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan Pusat. Kami akan mematuhi arahan beliau (Ahmad Zahid) yang juga Pengerusi BN (Barisan Nasional).

“Sebagai Ahli UMNO, segala keputusan adalah mengikut saluran parti dan bukan keputusan individu. Saya serahkan semua keputusan kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti,” katanya dalam hantaran di Facebook.

ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi turut menafikan spekulasi itu dan menegaskan bahawa beliau akan mematuhi sebarang keputusan daripada pucuk pimpinan UMNO Pusat.

Sebelum itu, tular dalam media sosial dikhabarkan beberapa ADUN UMNO akan dinamakan sebagai Exco kerajaan negeri bagi menggantikan empat rakan mereka yang secara automatik melepaskan jawatan selepas menarik balik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selain Asna dan Muhammad Sufian, ADUN Jeram Padang, Datuk Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim turut dikaitkan dengan khabar angin berkenaan.

Kelmarin, semua 14 ADUN UMNO/BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.

Sementara itu, Aminuddin pada sidang media di Wisma Negeri hari ini bagi mengulas perkara itu menjelaskan bahawa beliau tiada maklumat mengenainya.

“Tidak sesuai untuk saya menafikan laporan itu kerana saya sebenarnya tidak maklumat mengenainya,” katanya sambil menambah tiada rundingan antara Pakatan Harapan (PH) negeri ini bersama BN atau Perikatan Nasional (PN) susulan kemelut yang berlaku.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img