DAP menolak dakwaan desakan supaya beberapa agenda reformasi dipercepatkan adalah kehendak parti itu, untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, isu yang diperjuangkan parti itu termasuk pemisahan fungsi Peguam Negara, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta usaha memerangi rasuah telah dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
“Yang pertamanya bukan agenda DAP, ini yang saya nak perbetulkan ayat-ayat seperti itu. Kita tahu musuh-musuh politik kita kata kita nak gunakan konvensyen ataupun persidangan ini untuk menekan Perdana Menteri dengan agenda DAP.
“Agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.
Menurut Anthony, beberapa reformasi sudah mendapat persetujuan bukan sahaja pada peringkat PH, malah Kabinet dan kini diharapkan dapat dilaksanakan dengan segera.
Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, DAP akan memperincikan perkara yang dibangkitkan pada persidangan berkenaan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri dan Kabinet.
Katanya, parti itu juga mengambil kira garis masa yang diberikan Anwar berhubung beberapa pengumuman penting kerajaan dalam tempoh terdekat.
“Semalam Perdana Menteri telah memberikan garis masa, dia menyebut bahawa pada 30 Ogos dia akan mempunyai satu pengumuman penting sebelum Hari Nasional, diikuti oleh Hari Malaysia, 16 September dan kemudian diikuti oleh awal Oktober dalam pembentangan bajet.
“Jadi saya rasa kita perlu memberikan ruang kepada Perdana Menteri,” tambahnya.
Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada kerajaan dan Kabinet, DAP tidak boleh membincangkan semua perkara secara terbuka menerusi media.
Tambahnya, apa juga pembaharuan yang mahu dilaksanakan perlu dilihat sebagai komitmen bersama berdasarkan janji yang dipersetujui ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.





