DAP minta ambang e-Invois, kuota bahan api dikaji semula

DAP meminta kerajaan meneliti semula pelaksanaan e-Invois terhadap perusahaan mikro dan kecil, selain kuota bahan api termasuk RON95 dan diesel, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu antara maklum balas akar umbi yang diterima parti susulan kebimbangan terhadap tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan e-Invois, terdapat permintaan supaya nilai ambang dinaikkan bagi mengelakkan perusahaan mikro dan kecil terbeban dengan pelaksanaannya.

Tambahnya, isu e-Invois yang dibawa DAP bukan perkara baharu dan turut dibangkitkan Presiden UMNO di peringkat Kabinet.

“Ada beberapa perkara seperti untuk jangka masa pendek ini, beberapa perubahan seperti pelaksanaan e-Invois yang juga dibawa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Kabinet, memang kita sudah bawa lama.

“Jadi perkara-perkara seperti ini kita dengar daripada suara akar umbi kita meminta supaya pelaksanaan e-Invois ini, ia dapat meningkatkan ambangnya supaya tidak dilaksanakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME), untuk perusahaan mikro dan kecil,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Menurut Anthony, DAP akan berusaha supaya perkara berkenaan dapat diperhalusi bersama kerajaan.

Beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami keresahan rakyat berhubung kos sara hidup dan bersedia meneliti cadangan yang boleh membantu mengurangkan tekanan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here