DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan amanah umat Islam itu terus dipelihara.
Perdana Menteri berkata, perkara itu antara komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tata kelola selain memastikan setiap kelemahan dalam institusi diperbetulkan dengan tegas.

“Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam, manakala AUKU mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus mengongkong suara mahasiswa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik.
Beliau berkata, rakyat di negeri pembangkang juga wajib dibela kerana amanah kerajaan bukan hanya kepada penyokong atau negeri tertentu, sebaliknya kepada seluruh rakyat dan negara.
Dalam hantaran sama, Anwar berkata, KEADILAN memilih jalan prinsip, idealisme dan keberanian melakukan perkara yang benar serta tidak akan menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita reformasi semata-mata untuk mempertahankan kuasa.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan perlu diterima dengan penuh tawaduk tanpa menuding jari atau mencari alasan.
Sebaliknya, KEADILAN perlu bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan bangkit dengan gerak kerja yang lebih tersusun serta berdisiplin.
“Dalam mengatur kebangkitan ini, KEADILAN mesti kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua merentas kaum, agama dan wilayah. Kita tidak boleh hanya berbicara tentang keadilan, tetapi mesti membuktikannya melalui dasar dan tindakan,” katanya.
Anwar turut menegaskan tatakelola perlu terus diperkukuh dan institusi dibersihkan bagi memastikan amanah kepada rakyat dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, kekuatan KEADILAN bergantung pada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh dan gerak kerja yang tersusun.
“Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan,” katanya.





