Mahkamah Rayuan perintah bekas CEO Mara Corp bayar RM3.4 juta

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Amanah Rakyat Corp (Mara Corp), Datuk Badlisyah Abdul Ghani gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah mahkamah yang mengarahkannya membayar RM3.4 juta kepada syarikat itu kerana melanggar kewajipan kontrak, fidusiari dan statutori.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Badlisyah selepas mendapati tiada alasan untuk campur tangan terhadap dapatan mahkamah rendah.

Dua lagi anggota panel ialah Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Pada 20 Mei 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Badlisyah membayar RM3,468,215.42 kepada Mara Corp, selain menanggung kos yang ditanggung syarikat berhubung tuntutan perhubungan perusahaan membabitkan bekas pekerja.

Badlisyah dilantik sebagai CEO Mara Corp pada 8 September 2020, namun digantung tugas pada 19 November tahun sama sebelum ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 12 Januari 2021, lapor BH.

Kes itu berkisar kepada dua perkara utama, iaitu tindakan Badlisyah mengambil 25 pekerja tanpa kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Pengarah dan memberikan gambaran tidak tepat kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga (BNRC) berhubung empat pekerja.

Daripada 25 pekerja itu, 12 dilantik ke jawatan pengarah kanan yang didapati mahkamah berada di luar bidang kuasa Badlisyah.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 12 Ogos, Ahmad Kamal berkata, pengambilan 25 pekerja dalam tempoh singkat menimbulkan persoalan serius.

Katanya, tempoh pengambilan 25 pekerja itu dalam masa hanya dua minggu selepas Badlisyah memulakan tugas pada 8 September 2020 menimbulkan syak wasangka yang serius.

“Ia jelas menunjukkan perayu tidak dapat mempertimbangkan perkara berkenaan dengan sewajarnya.

“Masa, tindakan tergesa-gesa dan cara sulit pengambilan 25 pekerja itu tidak mungkin dilakukan dalam lingkungan munasabah untuk menjalankan perniagaan MARA dengan niat baik,” katanya.

Mahkamah berkata, pelantikan 25 pekerja itu menelan kos kira-kira RM9.4 juta setahun dalam bentuk gaji, sedangkan bajet emolumen yang diluluskan syarikat bagi 2020 hanya RM1.799 juta.

Mahkamah turut mendapati Badlisyah sudah melampaui bidang kuasanya apabila mengambil atau melanjutkan perkhidmatan 25 pekerja tanpa cadangan terlebih dahulu daripada BNRC dan kelulusan lembaga pengarah.

Ahmad Kamal bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Badlisyah meluluskan memo dalaman yang secara berkesan memperluaskan kuasanya untuk melantik pengarah kanan.

Beliau berkata, cubaan perayu memperluaskan kuasanya melalui memo dalaman itu tidak sah kerana Had Kuasa syarikat hanya boleh dipinda oleh lembaga pengarah.

Mahkamah turut mengekalkan dapatan bahawa Badlisyah memberikan gambaran tidak tepat mengenai status empat pekerja ketika mesyuarat BNRC pada 2 November 2020.

Pada mesyuarat itu, beliau mencadangkan empat pekerja terbabit untuk jawatan kanan dan memberitahu jawatankuasa bahawa mereka ‘bersedia menyertai Mara Corp.’

Bagaimanapun, mahkamah mendapati empat individu berkenaan sebenarnya sudah diambil bekerja oleh Mara, walaupun jawatan itu masih dalam pertimbangan BNRC dan belum mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Badlisyah membayar RM50,000 kos kepada Mara Corp.

Peguam Jack S’ng, Chng Keng Lung, Irene Wong dan Sarah Tham mewakili Mara Corp, manakala Badlisyah tidak diwakili peguam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here