POLIS mengesahkan tiada kejadian cubaan culik pelajar sekolah agama seperti yang tular di media sosial selepas menerima laporan daripada ibu pelajar berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya mengesan satu hantaran melalui laman sosial Threads kira-kira jam 1.15 petang semalam berkaitan dakwaan cubaan culik seorang pelajar di sebuah sekolah agama di Sungai Buloh.
Menurutnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh turut menerima laporan polis daripada ibu pelajar terbabit susulan dakwaan berkenaan.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada kes cubaan culik seperti yang ditularkan dan pelajar tersebut berada dalam keadaan baik serta selamat bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
Mohd Hafiz berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak polis terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya sebelum disebarkan kepada orang ramai.
“Sebarang maklumat yang diterima perlulah disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian hotline 03-61579200 atau hubungi talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum menyebarkannya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyebarkan maklumat tidak benar sehingga menimbulkan keresahan awam.
Katanya, perbuatan berkenaan boleh didakwa dan dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Selain itu, tindakan turut boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.





