KEPUTUSAN sama ada kerajaan akan membawa pulang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia pada 29 Julai lalu hanya akan dibuat selepas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selesai menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pegawai penyiasat JSJN ketika ini sedang mengumpulkan maklumat daripada suspek secara menyeluruh bagi menyelesaikan siasatan sebelum menentukan hala tuju seterusnya.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat bagi mengenal pasti sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket atau elemen jenayah terancang, atau dilakukan secara bersendirian.
“Saya cenderung untuk mengatakan biarlah bahagian narkotik menyempurnakan dahulu siasatan sebelum menentukan hala tuju seterusnya, termasuk persoalan sama ada kita mahu membawanya pulang dan sebagainya.
“Hakikat bahawa dia ditahan di sana, tentunya dia tertakluk kepada undang-undang negara tempat dia ditahan. Negara itu juga mempunyai undang-undangnya sendiri,” katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Saifuddin berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat daripada Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar berhubung perkembangan siasatan termasuk hasil temu bual pasukan JSJN dengan juruterbang berkenaan.
Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.
Penahanan dibuat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang itu mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.
Menurut polis Indonesia, juruterbang berkenaan didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel.





