Pemimpin PH-BN bincang krisis politik Negeri Sembilan petang ini

PEMIMPIN utama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan petang ini bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk krisis politik Negeri Sembilan.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat di Putrajaya itu akan berlangsung selepas mesyuarat dalaman PKR dan PH yang diketuai Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.

“Kami akan ada pertama mesyuarat Biro Politik PKR dipengerusikan Presiden diikuti Majlis Presiden PH, selepas itu pertemuan antara pimpinan PH dan BN.

“Kita bincang pelbagai perkara cuma jadual hari ni menarik perhatian sikit sebab latar belakang tentang politik Negeri Sembilan dan segala macam,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Menurut Saifuddin, satu kenyataan media dijangka dikeluarkan selepas pertemuan berkenaan.

Pada minggu lalu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan mengisytiharkan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan dakwaan kegagalannya menguruskan krisis institusi di negeri itu sehingga menjadi perdebatan umum.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah krisis berterusan melibatkan empat pembesar yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada Sabtu lalu dilaporkan berkata, pihaknya rela menjadi pembangkang daripada bersama PH dalam pentadbiran kerajaan susulan krisis adat dan perlembagaan di negeri itu.

Menurutnya, ini kerana mereka tidak rela melihat sahaja kesilapan yang dilakukan oleh Aminuddin.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan parti itu kekal sebahagian Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dan tidak pernah membincangkan pengganti Aminuddin.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak berminat menjadi pembangkang seperti disuarakan oleh Jalaluddin pada Kovensyen 80 Tahun UMNO di ibu negara Sabtu lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img