Aplikasi Facebook paling banyak kandungan judi, scam – Fahmi

KEMENTERIAN Komunikasi mendapati aplikasi media sosial Facebook menjadi platform paling banyak menyumbang kepada kandungan perjudian dalam talian dan penipuan (scam) di Malaysia yang dikenal pasti untuk diturunkan.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, aplikasi itu menyumbang kira-kira 78 peratus kandungan judi dalam talian yang dimohon untuk diturunkan, berbanding YouTube sebanyak 18 peratus dan diikuti TikTok, empat peratus.

Bagi kandungan scam pula, kata beliau, Facebook mencatat kadar penipuan sebanyak 53 peratus diikuti TikTok sebanyak 39 peratus dan Threads, lima peratus.

“Kalau hendak kata platform mana yang paling banyak buat dosa kepada rakyat Malaysia, untuk judi dalam talian, Facebook adalah yang paling banyak.

“Untuk scam juga, Facebook juga paling tinggi dengan 53 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos lalu, sebanyak 470,593 kandungan dimohon untuk diturunkan, dengan 436,661 kandungan atau 93 peratus dipersetujui platform terbabit untuk diturunkan.

Daripada jumlah itu, tambah beliau, 64 peratus membabitkan kandungan perjudian, manakala 27 peratus berkaitan penipuan.

“Setiap platform perlu bertindak secara proaktif untuk mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan yang jelas melanggar garis panduan serta terma penggunaan mereka.

“Kelewatan inilah yang memberi ruang kepada kandungan memudaratkan untuk terus tersebar dan meningkatkan risiko kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi memberitahu, kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM158 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM2.9 bilion sepanjang 2025.

Beliau berkata, jenayah rentas sempadan kini semakin kompleks apabila sindiket memanfaatkan rangkaian komunikasi dan platform digital untuk menjalankan kegiatan mereka.

Fahmi berkata, kerjasama antara MCMC dan Jabatan Imigresen diperlukan bagi memperkukuh perkongsian maklumat dan risikan, termasuk mengesan individu, rangkaian komunikasi serta modus operandi sindiket jenayah rentas sempadan.

MCMC juga sedang memperkukuh langkah berkaitan pengesahan identiti digital atau eKYC bagi platform media sosial yang tertakluk kepada kerangka kawal selia negara.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, beliau setakat ini belum menerima maklumat berhubung cadangan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri semalam berhubung arahan kerajaan mempercepatkan pemprosesan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

“Saya tiada maklumat dan tunggu Mesyuarat Kabinet dan laporan dari PMO (Pejabat Perdana Menteri) esok,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here