Patuhi undang-undang ketika konvoi motosikal – Polis

PESERTA konvoi motosikal yang merancang perjalanan ke luar negara diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan negara yang dikunjungi bagi mengelak berdepan tindakan pihak berkuasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, nasihat itu susulan isu sekumpulan peserta konvoi motosikal dari Malaysia yang dilaporkan ditahan pihak berkuasa Thailand baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai dakwaan kesalahan yang dilakukan kerana tindakan dan siasatan dijalankan pihak berkuasa negara berkenaan.

“Kalau kita hendak buat ‘ride’, apa lagi di negara luar, yang pertama sekali kita mesti mematuhi undang-undang tempatan.

“Kita tidak boleh suka-suka masuk begitu sahaja. Kita kena hormati peraturan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program ‘Charity Ride’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Sambutan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Alor Setar, hari ini.

Menjelang sambutan Bulan Kebangsaan yang menyaksikan pelbagai aktiviti ‘ride’ dan konvoi dianjurkan, Adzli berkata, penganjur di Kedah yang membuat permohonan kepada polis akan dipanggil bagi mendapatkan nasihat berkaitan aspek keselamatan.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk jumlah motosikal, laluan digunakan serta spesifikasi motosikal bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Tambahnya, peserta juga perlu mempunyai lesen memandu yang sah serta memakai topi keledar.

Menurutnya, polis turut menjalankan operasi terhadap motosikal yang menggunakan komponen atau alat ganti tidak dibenarkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here