TIMBALAN Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengecam Perikatan Nasional (PN) kerana menganjurkan konvoi bermotosikal membabitkan empat menteri besar (MB) negeri ditadbir gabungan itu pada Sabtu lalu, ketika dunia berdepan krisis tenaga global yang disifatkan pembaziran besar-besaran.
Menurut Nurul Izzah, penganjuran itu tidak seharusnya diadakan ketika kerajaan di seluruh dunia berusaha menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan.
“Namun dalam negara kita menyaksikan konvoi motosikal melibatkan ribuan peserta, satu demonstrasi yang jelas menggalakkan penggunaan bahan api secara berlebihan dalam satu acara.
“Ini bukan sekadar tidak peka. Ia mencerminkan kegagalan menetapkan keutamaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT hari ini.
PN pada Sabtu lalu menganjurkan perhimpunan motosikal yang melibatkan MB dari empat negeri yang ditadbir pembangkang, iaitu Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan.
Acara itu dilaporkan dihadiri lebih 100,000 peserta dan diadakan sempena Perhimpunan Penyatuan Ummah Antarabangsa Kelima bersama Himpunan Dunia Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, Kuala Nerus.
Nurul Izzah berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi PN serta Menteri Besar Terengganu, sepatutnya lebih arif dan tidak menganjurkan acara sedemikian.
“Ketika rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup dan kerajaan menanggung beban kewangan melalui subsidi, tindakan seperti ini memberi isyarat yang salah, seolah-olah berjimat cermat itu pilihan dan tanggungjawab itu terpilih,” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin turut membidas pihak yang sengaja menggunakan kenyataan beliau dahulu untuk menyerang kerajaan dalam isu kenaikan harga minyak.
Sambil menyifatkan apa yang dilakukan oleh pihak berkenaan sebagai mengamalkan politik dangkal, Perdana Menteri berkata, mereka sengaja mengabaikan fakta dan konteks semasa, termasuk perubahan harga minyak global.
Dalam menangani krisis bekalan bahan api, Nurul Izzah mencadangkan had laju dikaji semula, bukan sebagai langkah menghukum, tetapi sebagai pendekatan praktikal.
Katanya, walaupun pengurangan penggunaan bahan api kelihatan kecil, apabila dikumpulkan merentas jutaan kenderaan, ia mampu menghasilkan penjimatan yang ketara.
Beliau menambah krisis bekalan global bukan sekadar isu tenaga, tetapi juga isu ekonomi yang memberi kesan kepada pelbagai industri, rantaian bekalan, dan akhirnya kos sara hidup rakyat.


