Sanusi akur keputusan Mahkamah Persekutuan isu lesen judi di Kedah

KERAJAAN negeri Kedah mengakui terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kedah mendapatkan kebenaran merayu berhubung tindakan menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya ketika ini dalam proses mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak peguam mengenai implikasi keputusan itu serta perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas ini.

“Mana ada orang boleh tak akur perintah mahkamah…. itu hina mahkamah, tak bolehlah.

“Saya punya hati, dengan Tuhan…. Tuhan saya tak bagi, tapi makhluk bagi… kalau saya reda dengan mungkar, saya berdosa,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Kediaman Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil hari ini, lapor BH.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan dengan menjemput peguam bagi menjelaskan keputusan Mahkamah Persekutuan itu dari sudut undang-undang.

Ditanya apakah selepas ini kerajaan negeri akan kembali memperbaharui lesen premis judi, beliau berkata perkara itu belum dapat diputuskan.

“Peguam yang akan bagi (penjelasan). Apa kesan dia, apa yang mengikat kita, apa yang boleh, apa yang tak boleh. Insya-Allah ada jalan. Kalau semua orang tak mahu main, tak payahlah buka. Tak ada permintaan, tentulah tak ada penawaran. Itu perniagaan, kan.

“Ekonomi dia berjalan macam itu. Kalau ada permintaan, adalah penawaran,” katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.

Mengulas sama ada kerajaan negeri akan menggunakan ruang masih ada untuk tindakan seterusnya, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dianggap menghina mahkamah.

“Kalau saya reda dengan mungkar, (maka) mungkar. Konsep prinsip Islam macam itu. Reda dengan kufur, kufur… masalahnya, ada yang duduk fikir kata (kita) menafikan hak orang bukan Islam kan?.

“Kita tak ada nafi hak apa pun. Tapi kalau benda mungkar ini, Tuhan suruh sekat. Mereka kata orang Melayu, orang Islam tak boleh masuk…. masalah dia, boleh masuk, tulis saja tidak dibenarkan, tapi orang masuk, tak ada ada sekatan. Itu yang jadi isu besar,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here