26 Jun tarikh pendengaran permohonan Isa Samad kes rasuah, hukuman dan denda RM15.45 juta

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 26 Jun ini untuk mendengar permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi kebenaran menyemak semula keputusan panel terdahulu yang mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Pada 13 Mei lalu, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah menangguhkan pendengaran selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk melihat rakaman mahkamah dan transkripsi prosiding (CRT) pada 5 dan 10 Februari tahun ini berkaitan rayuan Mohd Isa.

Para peguam Mohd Isa memohon CRT berkenaan bagi memastikan sama ada panel terdahulu Mahkamah Persekutuan telah memberi ruang kepada hujah mengenai merit pembelaan dan rayuan bagi mengurangkan hukuman selepas beliau didapati bersalah.

Sebelum ini, pendakwaan memaklumkan bahawa peluang itu telah diberikan namun pihak pembelaan memilih untuk tidak mengemukakan sebarang hujahan.

Mohd Isa, 76, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dituduh menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel, yang ketika itu Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai dorongan untuk meluluskan pembelian MPHS oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Mohd Isa kemudian memfailkan permohonan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mendapatkan kebenaran semakan semula atas alasan berlaku pelanggaran keadilan asasi.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img